Saturday, July 14, 2007

Kursus Komputer Guru PASTI Ketereh


Pada 29 Jamadil Akhir 1428 bersamaan 14 Julai 2007 hari Sabtu, jawatankuasa PASTI kawasan Ketereh telah berjaya menganjurkan kursus asas komputer kepada semua guru PASTI kawasan Ketereh. Kursus tersebut telah dilangsungkan di makmal bahasa Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), dengan matlamat supaya guru-guru PASTI mendapat pengenalan asas tentang komputer untuk meningkatkan kemahiran semasa dan kegunaan mereka di masa-masa akan datang. Kursus yang bermula pada jam 9.00 pagi itu berlangsung selama enam jam dan berakhir pada jam 5.00 petang.
Dalam ucapan penutup, pengerusi PASTI Ketereh ustaz Muhammad Nasron Yaacob menegaskan bahawa di antara matlamat kursus ini ialah untuk memastikan semua guru PASTI Ketereh celik komputer, dan sebolehnya apa-apa urusan PASTI selepas ini adalah dengan menggunakan kemudahan komputer. Menurut beliau lagi, walaupun tempoh enam jam sebenarnya tidak mencukupi untuk mempelajari hatta perkara asas tentang komputer, namun sekurang-kurangnya guru-guru akan dapat memanafaatkannya walaupun dalam takat yang minima dan melakukan beberapa latihan yang berguna. Semoga guru-guru PASTI Ketereh akan lebih maju lagi selepas daripada ini.

Majlis Keraian PASTI dan Dakwah Halaqat

Pada 28 Jamadil Akhir 1428 bersamaan 13 Julai 2007 hari Jumaat, satu majlis kesyukuran telahpun diadakan di pantai Melawi, Bachok, Kelantan. Majlis tersebut diadakan adalah bertujuan meraikan guru-guru dan murid-murid PASTI kawasan Ketereh yang telah menyumbangkan tenaga mereka menaikkan PASTI kawasan Ketereh di dalam sukan PASTI peringkat kebangsaan baru-baru ini.
Penganjuran majlis ini sebenarnya tidak hanya di kalangan warga PASTI Ketereh sahaja, tetapi ia juga melibatkan semua tenaga pengajar unit dakwah halaqat kawasan Ketereh. Kehadiran pada hari itu amat menggalakkan dan dikatakan hampai 500 orang. Majlis tersebut kemudiannya telah dirasmikan oleh Yang Dipertua PAS kawasan Ketereh iaitu ustaz Wan Ismail bin Wan Junoh. Para peserta telah dijamu dengan laksa penang, laksa dan laksam Kelantan yang disediakan oleh pengusaha laksa tersohor dalam kawasan Ketereh iaitu ustaz Lah Kadok. Majlis berakhir pada pukul 12.00 tengahari.
Terima kasih dan jazakumullah kepada guru-guru PASTI Ketereh !

Wednesday, June 20, 2007

PASTI Ketereh naib johan keseluruhan

Pada 16 Jun 2007 - Sabtu, PASTI Ketereh telah berjaya dinobatkan sebagai naib johan keseluruhan di dalam acara sukan PASTI peringkat negeri Kelantan. Acara tersebut berlangsung dalam suasana yang cukup meriah dan berjaya menarik ramai pengunjung sehingga padang perdana, Kota Bharu pada hari itu penuh sesak dengan penyokong dan penonton yang kadang-kadang aksi mereka mengalahkan aksi anak-anak mereka di padang.
Di dalam acara tersebut, PASTI Ketereh telah terlibat di dalam kesemua acara yang dipertandingkan iaitu bola jaring, tarik tali dan bola sepak. Acara bola jaring menyaksikan PASTI Ketereh mendapat tempat pertama dan tarik tali di tempat kedua. Yang agak mendukacitakan ialah kegagalan PASTI Ketereh mempertahankan mahkota juara bola sepak yang pernah disandang tahun lepas dengan sekadar menduduki tempat yang ketiga pada tahun ini. Walau bagaimanapun, segala kesungguhan dan persiapan untuk menghadapi sukan tersebut amat membanggakan dan diharap kesungguhan ini akan dapat dikekalkan samada mereka beraksi dalam bidang ko-kurikulum selepas daripada ini ataupun dalam bidang kurikulum di pusat-pusat pengajian mereka. Tahniah dan jazakumullah khairan kathira...!
Beberapa orang murid PASTI dari kawasan Ketereh terpilih untuk mewakili acara bola sepak dan bola jaring PASTI Kelantan dalam acara sukan PASTI peringkat kebangsaan yang dijangka akan berlangsung pada hari Jumaat bertarikh 28 Jun 2007 ini.

Saturday, June 9, 2007

Sukan PASTI kawasan Ketereh meriah




Pada tarikh 23 Jamadil Awwal 1428 bersamaan 9 Jun 2007, sukan PASTI peringkat kawasan Ketereh telah berjaya dianjurkan dengan penyertaan PASTI dari setiap DUN yang ada di dalam kawasan Ketereh iaitu DUN Kadok, Melor dan Kok Lanas. Acara yang dipertandingkan di dalam sukan ini ialah bola sepak, bola jaring dan tarik tali. Kedatangan peserta, guru-guru PASTI dan ibu bapa sejak jam 8.30 pagi lagi telah mula menceriakan suasana sukan PASTI ini, dan padang PASTI Abu Bakar Kadok yang menjadi medan acara sukan PASTI tahun ini sesak dengan pengunjung pada jam 9.00 pagi apabila acaranya mula dilangsungkan.
Menurut pengerusi PASTI kawasan Ketereh iaitu ustaz Muhammad Nasron Yaacob, seperti tahun-tahun sudah bahawa pemenang di sukan PASTI peringkat kawasan ini akan dipilih untuk mewakili kawasan Ketereh dalam acara sukan PASTI peringkat negeri Kelantan pada 16 Jun 2007 yang dijangka akan berlangsung di stadium Sultan Mohammad ke IV nanti. Apa yang dapat dibanggakan ialah PASTI kawasan Ketereh pernah mewakili PASTI negeri Kelantan dalam acara bola sepak pada tahun lepas ke sukan PASTI peringkat kebangsaan dan berjaya menduduki tempat kedua. Oleh itu, PASTI kawasan Ketereh tahun ini berazam untuk mendapat kedudukan yang lebih baik dari tahun lepas, dan kejayaan yang diimpikan ini tidak hanya dalam acara bola sepak sahaja, bahkan di dalam semua acara yang dipertandingkan.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah sukan PASTI kawasan Ketereh telah disempurnakan oleh pengerusi PASTI kawasan Ketereh iaitu ustaz Muhammad Nasron Yaacob. Upacara penyampaian hadiah telah menyaksikan PASTI Kadok menjadi juara dalam acara bola sepak, diikuti oleh PASTI Melor dan tempat ketiga ialah PASTI Kok Lanas. Dalam acara bola jaring, PASTI Kadok sekali lagi berjaya menjadi johan dan PASTI Melor sebagai naib johan, dan tempat ketiga ialah PASTI Kok Lanas. Dalam acara tarik tali, tempat pertama berjaya direbut oleh PASTI Kok Lanas, diikuti oleh PASTI Melor dan tempat ketiga disandang oleh PASTI Kadok. Sukan PASTI kawasan Ketereh berakhir pada jam 12.00 tengahari.

Sunday, May 27, 2007

Sukan PASTI DUN Kadok


Pada 26 Mei 2007, jawatankuasa PASTI peringkat kawasan Ketereh dan DUN Kadok telah berjaya menganjurkan acara sukan PASTI bagi tahun ini. Acara yang dipertandingkan ialah bola sepak, bola jaring dan tarik tali. Kesemua PASTI yang berada di dalam DUN Kadok telah mengambil bahagian di dalam acara-acara tersebut. Pertandingan tersebut berakhir pada jam 1.00 tengahari.

Monday, May 21, 2007

Sukan PASTI Peringkat DUN

Baru-baru ini PASTI kawasan Ketereh telah bersetuju menganjurkan acara sukan PASTI peringkat DUN yang mempertandingkan tiga acara utama iaitu bolasepak, bola jaring dan tarik tali. Semua PASTI di dalam setiap DUN kawasan Ketereh telah diberikan tarikh yang sesuai untuk sukan tersebut. Bermula dengan DUN Melor yang telah menganjurkan sukan PASTI peringkat DUN Melor pada 18 Mei 2007 dan diikuti oleh PASTI DUN Kok Lanas yang menganjurkan sukan peringkat DUN pada 19 Mei 2007. Manakala PASTI DUN Kadok pula, penganjuran sukan adalah pada 26 Mei 2007. PASTI cawangan yang menjadi juara dalam pertandingan sukan PASTI peringkat DUN tersebut akan mewakili DUN masing-masing ke acara sukan PASTI peringkat kawasan yang dijadualkan berlangsung pada 9 Jun 2007.

Program Ihtifal PASTI Kawasan Ketereh


Pada 7 Jamadil Awwal 1428 bersamaan 24 Mei 2007, telah berlangsung satu program Ihtifal PASTI peringkat kawasan Ketereh yang melibatkan kesemua DUN yang berada di dalam kawasan Ketereh iaitu DUN Kadok, Melor dan Kok Lanas. Program tersebut telah diadakan di dewan bangunan PAS Ketereh dan acara yang dipertandingkan ialah acara azan dan bercerita. Pemenang bagi acara ini akan menunjukkan kebolehan bercerita dan azan mereka semasa berlangsungnya Muktamar PAS kali ke 53 di PUTIK pada 31 Mei hingga 3 Jun 2007. Upacara penutup program Ihtifal yang bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari itu telah dirasmikan oleh wakil Yang Dipertua PAS kawasan Ketereh ustaz Ishak (Pak Da Hak), pengelola unit Dakwah Halaqat kawasan Ketereh.