Wednesday, June 20, 2007

PASTI Ketereh naib johan keseluruhan

Pada 16 Jun 2007 - Sabtu, PASTI Ketereh telah berjaya dinobatkan sebagai naib johan keseluruhan di dalam acara sukan PASTI peringkat negeri Kelantan. Acara tersebut berlangsung dalam suasana yang cukup meriah dan berjaya menarik ramai pengunjung sehingga padang perdana, Kota Bharu pada hari itu penuh sesak dengan penyokong dan penonton yang kadang-kadang aksi mereka mengalahkan aksi anak-anak mereka di padang.
Di dalam acara tersebut, PASTI Ketereh telah terlibat di dalam kesemua acara yang dipertandingkan iaitu bola jaring, tarik tali dan bola sepak. Acara bola jaring menyaksikan PASTI Ketereh mendapat tempat pertama dan tarik tali di tempat kedua. Yang agak mendukacitakan ialah kegagalan PASTI Ketereh mempertahankan mahkota juara bola sepak yang pernah disandang tahun lepas dengan sekadar menduduki tempat yang ketiga pada tahun ini. Walau bagaimanapun, segala kesungguhan dan persiapan untuk menghadapi sukan tersebut amat membanggakan dan diharap kesungguhan ini akan dapat dikekalkan samada mereka beraksi dalam bidang ko-kurikulum selepas daripada ini ataupun dalam bidang kurikulum di pusat-pusat pengajian mereka. Tahniah dan jazakumullah khairan kathira...!
Beberapa orang murid PASTI dari kawasan Ketereh terpilih untuk mewakili acara bola sepak dan bola jaring PASTI Kelantan dalam acara sukan PASTI peringkat kebangsaan yang dijangka akan berlangsung pada hari Jumaat bertarikh 28 Jun 2007 ini.