Saturday, June 9, 2007

Sukan PASTI kawasan Ketereh meriah




Pada tarikh 23 Jamadil Awwal 1428 bersamaan 9 Jun 2007, sukan PASTI peringkat kawasan Ketereh telah berjaya dianjurkan dengan penyertaan PASTI dari setiap DUN yang ada di dalam kawasan Ketereh iaitu DUN Kadok, Melor dan Kok Lanas. Acara yang dipertandingkan di dalam sukan ini ialah bola sepak, bola jaring dan tarik tali. Kedatangan peserta, guru-guru PASTI dan ibu bapa sejak jam 8.30 pagi lagi telah mula menceriakan suasana sukan PASTI ini, dan padang PASTI Abu Bakar Kadok yang menjadi medan acara sukan PASTI tahun ini sesak dengan pengunjung pada jam 9.00 pagi apabila acaranya mula dilangsungkan.
Menurut pengerusi PASTI kawasan Ketereh iaitu ustaz Muhammad Nasron Yaacob, seperti tahun-tahun sudah bahawa pemenang di sukan PASTI peringkat kawasan ini akan dipilih untuk mewakili kawasan Ketereh dalam acara sukan PASTI peringkat negeri Kelantan pada 16 Jun 2007 yang dijangka akan berlangsung di stadium Sultan Mohammad ke IV nanti. Apa yang dapat dibanggakan ialah PASTI kawasan Ketereh pernah mewakili PASTI negeri Kelantan dalam acara bola sepak pada tahun lepas ke sukan PASTI peringkat kebangsaan dan berjaya menduduki tempat kedua. Oleh itu, PASTI kawasan Ketereh tahun ini berazam untuk mendapat kedudukan yang lebih baik dari tahun lepas, dan kejayaan yang diimpikan ini tidak hanya dalam acara bola sepak sahaja, bahkan di dalam semua acara yang dipertandingkan.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah sukan PASTI kawasan Ketereh telah disempurnakan oleh pengerusi PASTI kawasan Ketereh iaitu ustaz Muhammad Nasron Yaacob. Upacara penyampaian hadiah telah menyaksikan PASTI Kadok menjadi juara dalam acara bola sepak, diikuti oleh PASTI Melor dan tempat ketiga ialah PASTI Kok Lanas. Dalam acara bola jaring, PASTI Kadok sekali lagi berjaya menjadi johan dan PASTI Melor sebagai naib johan, dan tempat ketiga ialah PASTI Kok Lanas. Dalam acara tarik tali, tempat pertama berjaya direbut oleh PASTI Kok Lanas, diikuti oleh PASTI Melor dan tempat ketiga disandang oleh PASTI Kadok. Sukan PASTI kawasan Ketereh berakhir pada jam 12.00 tengahari.